Sunday, April 24, 2011

Menghadap Kiblat

Allah swt berfirman yang bermaksud : " Dan dari mana sahaja kamu keluar(datang), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidilharam, sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu yang hak daripada Tuhanmu. Dan Allah sekali-kali tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Baqarah 2:149)

Ayat di atas menerangkan arahan Allah swt agar menghadap wajah ke arah kiblat ketika solat sama ada ketika bermukim mahupun sedang bermusafir. Wajah dalam ayat di atas bermaksud muka dan tubuh, mata atau dada. Sekiranya dalam keadaan musafir, terlampau sejuk(seperti ribut salji atau angin sejuk untuk berhadapan dengan kiblat), terikat, bahaya dan darurat-darurat lain, maka solat tetap sah jika tidak mampu menghadap kiblat.

Kiblat Ketika Musafir

Hukum dalam keadaan ini dibahagikan kepada dua keadaan:

1. Solat Sunat


     Para ulama telah ijmak bahawa dibenarkan untuk menghadap ke hadapan sahaja jika ia berada di atas kenderaan dalam musafir yang panjang. Maka dibenarkan juga menunaikan solat ini secara isyarat sahaja, sujud hendaklah lebih rendah daripada rukuk.

     Ia berdalilkan kepada hadis tentang Baginda saw yang hanya menurut mana-mana arah perjalanan kenderaan apabila telah memulakan perjalanan. Terdapat hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menyebut keadaan demikian. Tetapi Nabi saw hanya solat di atas kenderaan hanya untuk solat sunat sahaja.

2. Solat Fardu

    Tidak dibenarkan solat atas kenderaan menurut mazhab as-Syafi'e kecuali dalam keadaan yang tersangat berbahaya dan diberi keringanan jika berada di atas kapal. Ini kerana Nabi saw turun dari kenderaan apabila ingin menunaikan solat fardu sebagaimana hadis Nabi saw yang bermaksud : " Nabi saw menunaikan solat di atas kenderaan menurut mana-mana arah yang ada di dalamnya dan apabila ingin menunaikan solat fardu, Baginda turun dan menghadap kiblat."
(Riwayat al-Bukhari)

No comments:

Post a Comment