Monday, January 17, 2011

Syariat Kelahiran

"Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada Nabi SAW. Baginda Menamakannya Ibrahim, lalu mentahnikkannya dengan sebiji kurma". (hadis riwayat Abu Burdah dari Abu Musa)

Kehadiran permata hati di dalam sebuah keluarga adalah sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu. kehadirannya akan menjadi jambatan hubungan kasih sayang yang lebih erat antara suami dan isteri dalam meniti bahtera kehidupan. Tambahan pula kelahiran ini sangat diingini hasil dari perkahwinan yang sah.

Sampaikan khabar gembira 




Setelah mendapat cahaya mata adalah menjadi suatu tanggungjawab bagi kita menyebarkan khabar gembira ini kepada kaum keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan sebagainya. Jika kita menyingkap kembali Sirah Nabawiyyah, kita akan mendapati bahawa ketika Nabi SAW dilahirkan, Thuwaibah telah memberi khabar gembira kepada Abu Lahab yang ketika itu adalah majikannya dengan mengatakan, "Telah lahir seorang anak lelaki daripada Abdullah". Maka sesudah itu Abu Lahab memerdekakan Thuwaibah kerana perasaannya yang terlalu gembira.

Ucapan tahniah ini merupakan salah satu cara dalam kita meraikan pasangan yang baru mendapat cahaya mata. Dengan cara ini dapatlah diwujudkan suasana kesatuan umat Islam. Selepas mendapat cahaya mata adalah menjadi kewajipan seorang bapa untuk melakukan beberapa perkara yang telah disyariatkan dalam Islam.

Azan dan Iqamat

Islam telah mensyariatkan umatnya agar melaungkan azan pada telinga kanan bayi dan iqamat pada telinga kiri bayi. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a yang maksudnya: "Aku bersyukur kepada Allah yang mengurniakan. Sungguh sempurna kekuasaan-Nya dan kamu telah mendapat anugerah kebaikkan-Nya". Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Abu Rafi' yang maksudnya: " Abu Rafi' berkata : " Saya melihat Rasullullah SAW membacakan azan pada telinga kanan Hasan bin Ali yang baru dilahirkan oleh Fatimah".

Antara kebaikkan azan:


  1. Sebagai tanda memuji kebesaran Allah atas nikmat anak yang diberikan dan memuji kekuasaan Allah serta memanjatkan kesyukuran pada Yang Maha Esa.
  2. Sebagai satu pernyataan syariat Islam mendahului dakyah syaitan terkutuk dan mengekang arus nafsu syahwat.
Tahnik

Tahnik atau dalam erti kata lain ialah belah mulut. Perbuatan ini dilakukan dengan memasukkan manisan seperti tamar ke dalam mulut dalam kuantiti yang sedikit. Terlebih dahulu tamar tersebut dikunyah oleh orang yang alim dan bertaqwa kepada Allah. Tamar yang dikunyah tadi hendaklah diletakkan pada jari telunjuk dan digerakkan ke kiri dan kanan mulut bagi sehingga kena pada keseluruhan mulut bayi berkenaan dan turun hingga ke rongga tekak bayi.

Diriwayatkan daripada Asma' ketika mana beliau mengandungkan Abdullah bin Zubir di Mekah. Sesudah itu beliau datang ke Madinah dan tinggal di Quba'. Selepas Abdullah dilahirkan, Asma' membawanya berjumpa dengan Nabi SAW lalu baginda meletakkannya diatas ribaan baginda. Baginda kemudiannya berdoa dan mengunyah sebiji tamar lalu dimasukkan kedalam mulut Abdullah. Antara hikmahnya adalh untuk menguatkan saraf mulut bagi mempersiapkan bayi untuk menghisap susu denga sempurna.

Nama Yang Baik


Sudah tentu ibu bapa diluar sana telahpun melakukan sesuatu yang cukup baik dalam membentuk anak yang soleh. Maka perlulah terlebih dahulu memberi anak itu dengan nama yang baik. Nama yang baik merupakan perkara yang sangat dituntut kerana ianya akan mempengaruhi peribadi anak berkenaan. Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda r.a bahawa Rasullullah SAW telah bersabda yang maksudnya: " Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, manusia akan dipanggil mengadap Allah SWT dengan nama masing-masing dan nama bapa masing-masing(seperi nama didunia). Oleh itu, pilihlah nama yang baik-baik untuk kamu sekalian".

Insyaallah pada masa yang akan datang ana akan memuatkan lagi sambungan syariat kelahiran yang mana ianya berkenaan dengan akikah dan bercukur rambut, dan berkhitan.




No comments:

Post a Comment