Monday, January 17, 2011

Kepentingan Konsep Syahadah

Konsep Syahadah


Maksud: Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan
aku bersaksi Muhammad itu pesuruh Allah.

Tiada guna segala kesenangan yang dikecapi, tiada guna pangkat tinggi melangit tanpa pengabdian dan kepatuhan kepada Allah. Pengucapan kalimah syahadah adalah menjadi tunjang kepada agama Islam dan setiap lafaz itu perlulah disertai dengan keimanan, penghayatan dan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT.

Kanak-kanak yang telah menjejakkan kaki ke alam dewasa dan mukallaf perlu diajar padanya syahadah serta memberi bimbingan dalam menjalani kehidupan ke arah yang lebih baik dengan mengajarnya solat, puasa dan ibadat-ibadat yang lain. Sama juga keadaannya apabila mereka yang baru memeluk agama Islam perlu juga mengucapkan kalimah agung ini. Dalam erti kata yang mudah, kalimah syahadah adalah kalimah yang menjadi pengakuan seseorang terhadap sesuatu. Dan apabila seorang manusia itu mengucap kalimah syahadah adalah menjadi satu penyaksian dan pengakuan  dengan lidah terhadap sesuatu perkara. Pengakuan yang mana dia redha Allah sebagai tuhannya dan Muhammad adalah rasul-Nya dan dia akan mematuhi segala syariat Allah dan meninggalkan larangan Allah.

Kalimah syahadah ini mempunyai 2 bahagian iaitu  kalimah  لا إله إلا الله  yang mana kalimah ini merupakan  satu bentuk penafian segala bentuk tuhan, kepercayaan, akidah, dan penyembahan selain daripada Allah Tuhan sekalian alam dan  محمد رسول الله adalah pengakuan kerasulan Nabi Muhammad sebagai rasul dan utusan Allah.

Lafaz syahadah ini perlu dilafaz sekali gus dan sekiranya berlaku sebaliknya maka syahadah tersebut tidak sah. Penghayatan lafaz ini adalah penting dalam kehidupan seorang muslim bagi memantapkan keimanan kepada Allah dan melahirkan kesedaran dalam melaksanakan hukum Allah.

Tuntutan syahadah ini dapat dibuktikan dengan menunaikan solat lima waktu, puasa, zakat, menunaikan haji, iaitu terdapat di dalam Rukun Islam yang lima dan seterusnya menghindarkan diri kita dari melakukan perkara yang ditegah oleh Allah dan melakukan apa yang diperintahkannya.

Fardu syahadah ini ada dua iaitu pengucapan kalimah itu mesti diikrarkan dengan lidah dan yang kedua tasdiqkan dengan hati. Bagi yang ingin memeluk agama Islam adalah penting menyebut kalimah ini sama ada di dalam bahasa arab atau di dalam bahasanya sendiri. Pengakuan dengan hati adalah dengan menyerahkan diri kita kepada Allah SWT sebagai tanda kita tunduk, taat dan patuh padanya.

Antara syarat-syarat syahadah ialah:

  1. Diketahui
  2. Diikrarkan dengan lidah
  3. Ditasdiqkan dengan hati  
  4. Diamalkan dengan anggota
Mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat kita fahami konsep syahadah yang sebenar dalam meniti kehidupan kita agar kita tidak lupa dan lalai dalam mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan larangannya.


No comments:

Post a Comment